KUALA LUMPUR: Rakyat Trustee Berhad (RTB) melakar sejarah sebagai syarikat amanah pertama yang mengunakan aplikasi digital sepenuhnya sejajar dengan visi kerajaan untuk mentransformasikan digital di Malaysia.

Pendigitalan ini bertujuan untuk menyelaraskan dan menjadikan produk dan perkhidmatan RTB, mesra pelanggan, efisien serta diuruskan secara dalam talian sepenuhnya.

Mengalu-alukan usaha dirintis RTB, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, adalah penting untuk semua pihak menyesuaikan diri dengan trend global semasa, terutamanya selepas pandemik COVID-19 .

Sehubungan itu, Ewon menggalakkan koperasi-koperasi dan syarikat-syarikat untuk mengintegrasikan digital di dalam operasi mereka.

“Digital bukan sahaja mempercepatkan proses tetapi juga mengurangkan kos operasi serta boleh menarik pelabur berpotensi menceburkan diri dalam industri pewarisan di Malaysia,” kata beliau semasa berucap pada Majlis Pelancaran Rasmi Syarikat dan Penyerahan Memorandum Perjanjian (MoA) Dan Memorandum Persefahaman (MoU) antara RTB Bersama Koperasi-Koperasi dan Rakan Strategik, di ibu negara, pada Jumaat.

Ewon turut menegaskan, pentadbiran hal ehwal pusaka yang cekap dan efisien adalah penting untuk mengelakkan aset terbeku dan menjadi satu kerugian kerana aset tersebut tidak dapat menjana ekonomi waris dan negara.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan agar RTB dan syarikat pemegang amanah lain meneroka cara dan kaedah yang bersesuaian untuk mendidik orang ramai mengenai kepentingan perancangan dan pentadbiran pusaka.

“Ia boleh dilakukan dengan berkolaborasi melalui penganjuran seminar dan bengkel yang melibatkan agensi berkaitan seperti Pejabat Tanah, Pejabat Pusaka Kecil, syarikat amanah, KWSP, bank dan institusi pendidikan,” jelas beliau lagi.

Beliau turut menyarankan koperasi dengan sokongan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) terbabit secara serius dalam industri pewarisan dengan memasarkan dan mempromosikan produk dan perkhidmatan pewarisan.

Tidak ketinggalan, beliau mencadangkan, koperasi kredit bekerjasama dengan syarikat amanah di Malaysia bagi mewujudkan sumber pendapatan baharu kepada koperasi melalui pemasaran produk dan perkhidmatan pewarisan yang berpotensi menjana pendapatan yang besar.

Sejajar itu, Ewon memuji kerjasama RTB dengan koperasi-koperasi dan rakan strategik dan merakamkan penghargaan atas usaha RTB dalam mewujudkan  peluang perniagaan dan pekerjaan ini.

MoA dan MoU yang ditandatangani itu melibatkan beberapa agensi kerajaan, koperasi, institusi pendidikan dan syarikat antaranya Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Pusat Pungutan Zakat-MAIWP.

Tidak ketinggalan Takaful Ikhlas, Management and Science University (MSU), Koperasi Kakitangan Bank Islam Malaysia (KOBIMBING), Koperasi Kakitangan Bank Simpanan Nasional (KOBANAS), Koperasi Rakyat BR 2.0 Malaysia dan lain-lain.

Majlis ini turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Suriani Ahmad.